10.5 C
New York
Wednesday, April 24, 2024
spot_img

Anak banyak homework. Bagaimana saya boleh bantu anak saya?

Kerja rumah? Homework? Kerja kursus? Folio? Buat buku skrap?

Ha, inilah istilah-istilah yang sering dilontarkan oleh anak-anak apabila mereka pulang ke rumah dan barisan istilah ini turut mengundang gundah buat sesetengah ibu bapa. Sebagai tenaga pengajar, saya tidak terlepas daripada melihat ibu bapa yang menyiapkan tugasan kerja rumah, malah ada juga tutor yang pernah diupah untuk menyiapkan latihan kerja sekolah anak murid seperti kerja kursus.

Ada juga ibu ayah yang mengeluh menghabiskan masa seharian yang panjang pada hujung minggu untuk bersama anak dan menyiapkan tugasan kerja rumah yang dibekalkan oleh pihak sekolah, tetapi tugasan kerja rumah juga adalah sebahagian perkara penting dalam perjalanan akademik anak-anak. Maka tuntutan ini perlu dilaksanakan juga. Namun, ada perbezaan kritikal yang perlu dibuat di sini: matlamat latihan kerja rumah bukan untuk melakukan tugasan kerja rumah untuk mereka, tetapi untuk membimbing mereka mencari jawapan sendiri. Oleh itu, dalam penulisan kali ini, kami berbesar hati untuk berkongsi mengenai teknik berkesan dalam membantu anak anda untuk lebih cemerlang dalam tugasan mereka.

Pertama, faham bahawa tugasan kerja rumah adalah wahana untuk mengukuhkan perkara yang dipelajari oleh pelajar sewaktu sesi pembelajaran.

Apabila ibu bapa memberikan bantuan berlebihan atau mengambil alih, anak-anak kehilangan peluang untuk mengukuhkan pemahaman mereka atau belajar daripada kesilapan mereka. Melakukan tugasan rumah untuk mereka boleh meruntuhkan keyakinan diri dan keupayaan untuk berfikir secara bebas. Langkah ini merupakan suatu bentuk bantuan dan bukanlah penyelesaian.

Jadi, bagaimana anda, sebagai ibu bapa, anda dapat membantu dengan tugasan kerja rumah tanpa melakukannya untuk anak anda? Jom, kita ikuti tips ini:

Jadi Pengurus yang Baik

Kedengaran seperti bekerja bukan? Ha, sebenarnya dalam konteks pembelajaran hari ini, anak-anak perlu mula belajar untuk menggunakan konsep task priority dek lambakan tugasan yang diterima oleh mereka. Sebagai ibu ayah, mainkan peranan anda sebagai pembimbing kepada pengurusan tugasan dan masa yang cemerlang. Ajar anak menyiapkan tugasan berdasarkan keperluan mengikut jadual sekolah mereka.

Bukan itu sahaja, amalan bertangguh juga perlu dijauhi oleh anak-anak. Setelah menyiapkan keutamaan mengikut dateline yang ditentukan atau mengikut jadual sekolah, siapkan kerja-kerja yang tertangguh. Anak-anak seawal prasekolah sudah boleh dibimbing dengan cara untuk melihat jadual. Oleh sebab itu, ilmu 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) sangat penting dalam pembangunan sahsiah anak-anak. Pastikan anak anda keep on track dari segi pengetahuan dan perkembangan sahsiah!

Cipta Persekitaran Produktif

Persekitaran pembelajaran yang kondusif adalah kunci untuk belajar yang berkesan. Sediakan ruang yang tenang, terang dan bebas daripada gangguan. Tetapkan jadual bagi tugasan kerja rumah yang sesuai dengan jadual harian anak anda. Hal ini penting supaya anak-anak faham terdidik dengan disiplin pengurusan masa yang baik.

Jadilah Panduan, Bukan Pelaku

Daripada memberikan jawapan secara langsung, bimbing anak anda untuk mencari jawapan secara kreatif dan bebas. Tanya soalan secara terbuka, beri petunjuk atau gunakan contoh. Galakkan mereka menggunakan sumber seperti buku teks, kamus, atau laman web pendidikan. Ini berupaya memupuk kemahiran menyelesaikan masalah dan meningkatkan keyakinan.

Pecahkan Tugasan

Tugasan yang terlalu banyak dalam sesuatu subjek atau topik akan menyebabkan anak-anak berasa panik dan gundah sewaktu menerimanya dan dalam proses menyiapkannnya. Di sinilah peranan anda diperlukan untuk membantu anak untuk memecahkan tugasan mereka kepada beberapa tugasan kecil yang lebih mudah untuk diurus. Pendekatan ini dapat mendidik anak-anak untuk meningkatkan keyakinan diri mereka dalam menguruskan sesuatu tugasan di samping memberikan pemahaman yang baik kepada anak-anak dalam menyiapkan suatu masalah yang kompleks.

Puji Usaha, Bukan Hanya Hasil

Penting untuk memberikan kata-kata pujian kepada kerja keras dan usaha anak anda, bukan hanya pujian pada hasil yang sempurna. Memuji usaha menggalakkan pemikiran positif, menjadikan anak-anak lebih kuat dan tenang dalam menghadapi cabaran.

Galakan Teknik Pembelajaran yang Berkesan

Berikan galakan kemahiran belajar yang berkesan buat anak-anak seperti mengambil nota, pengurusan masa, dan semakan sendiri. Kemahiran-kemahiran ini bukan sahaja berguna untuk tugasan semasa, tetapi juga akan memberi manfaat kepada anak anda sepanjang tempoh pembelajaran akademik mereka.

Berhubung dengan Guru

Jaga komunikasi dengan guru-guru anak anda. Jika anak anda menghadapi masalah dengan tugasan rumah, guru boleh memberikan pandangan dan mencadangkan strategi tambahan untuk membantu. Lebih mudah, kan?

Ingat, peranan anda dalam membantu tugasan kerja rumah adalah untuk memberikan sokongan dan panduan, bukan untuk mengambil alih peranan anak anda. Matlamatnya adalah untuk mendidik anak-anak agar mereka dapat belajar dengan bebas dan dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan oleh mereka untuk pembelajaran sepanjang hayat. Dengan mengikuti strategi-strategi ini, anda bukan sahaja membantu anak anda dengan tugasan rumah mereka – anda sedang mempersiap diri mereka untuk kejayaan akademik dalam jangka masa panjang.

Related Articles

Stay Connected

0FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles