Remaja dan dunia pendidikan? Dua elemen ini memang tidak dapat dipisahkan ibarat lagu dan irama, kan? Zaman remaja adalah masa untuk belajar. Jangan salah sangka, belajar di sini merujuk kepada pelbagai perkara. Memenuhi tuntutan ilmu akademik, belajar untuk bersosial dan juga mempelajari pelbagai bidang kemahiran selaras dengan usia remaja sangat penting untuk difahami. Oleh itu, keseimbangan dunia akademik dan sosial perlu dititikberatkan.
Sebagai seorang pendidik saya seringkali melihat perjalanan pelajar-pelajar saya yang juga merupakan anak remaja yang rata-ratanya lebih menumpukan perhatian dan usaha mereka dalam bidang akademik semata-mata tanpa mengetahui kesannnya kepada sahsiah mereka. Sahsiah yang cemerlang juga diperlukan dalam sektor pekerjaan kelak.
Ibu ayah, jom cakna dalam menyeimbangkan dunia akademik dan sosial anak remaja anda agar mereka dapat menembusi dunia yang penuh cabaran apabila mereka tamat belajar kelak.
Pengurusan Waktu yang Efektif
Ingat, masa yang sudah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan lagi. Jadi, pengurusan masa yang ektif sangat penting buat remaja yang sedang mengejar impian dan cita-cita mereka. Bantu anak remaja anda untuk membuat jadual yang teratur dengan membahagikan waktu secara bijak antara menelaah pelajaran, aktiviti kokurikulum di sekolah serta beriadah bersama rakan-rakan dan keluarga.
Didik Penggunaan Teknologi dengan Bijak
Teknologi dapat menjadi alat yang berguna dalam menjaga keseimbangan antara akademik dan sosial anak remaja. Tetapi, harus diingatkan penting untuk mendidik anak remaja menggunakannya dengan bijak. Tetapkan batasan waktu penggunaan gadget dan media sosial, serta dorong anak anda untuk menggunakan teknologi bagi tujuan aktiviti akademik di samping interaksi sosial yang sihat.
Berikan Galakan
Kehidupan sosial yang sihat adalah komponen penting buat keseimbangan sahsiah remaja. Dorong anak anda untuk terlibat dalam kegiatan sosial seperti aktiviti kelab dalam kokurikulum, organisasi, atau bersukan. Bantu mereka membina hubungan yang positif dengan rakan sebaya dan menonjolkan keterampilan yang baik demi masa depan yang cemerlang.
Bimbing anak menggunakan konsep ‘Task Priority’
Dalam memenuhi tuntutan pendidikan hari ini, memang tidak dapat dinafikan bahawa anak remaja kita seringkali dihadapkan dengan pelbagai tugasan kerja rumah dan kerja khusus. Kesibukan mereka ini kadangkala menyebabkan mereka mengenepikan rutin sosial dan menumpukan perhatian kepada elemen akademik semata-mata. Jadi, bimbinglah anak-anak untuk menggunakan konsep ‘task priority’ dalam menyiapkan lambakan tugasan yang perlu disiapkan oleh mereka.
Bantulah mereka untuk memahami bahawa tidak semua kegiatan harus diikuti, dan penting untuk menghormati batas waktu dan tenaga mereka. Dorong anak anda untuk fokus pada bidang akademik, namun jangan lupa untuk sesuaikan waktu mereka untuk menjalinkan hubungan yang sihat dengan insan-insan di sekeliling mereka.
Anda nak bantu anak siapkan tugasan mereka dengan baik? Ikuti tips dalam artikel ini: Panduan Ibu Bapa: Bagaimana Membantu Anak Anda Mengurus Homework dengan Cemerlang?
Dalam melalui zaman remaja, bantu mereka untuk menemukan keseimbangan antara dunia akademik dan sosial sebagai kunci utama dalam mencapai kejayaan dari segi mental dan emosi yang sihat. Ayuh, bimbing anak remaja anda ke menara kejayaan dengan sokongan efektif buat mereka!