Benarkah bahasa ketiga menjadi suatu kepentingan buat masyarakat hari ini?
Masyarakat digalakkan menguasai bahasa ketiga bagi mengupayakan negara melahirkan modal insan yang mahir dan berpengetahuan tinggi pada peringkat global.
Bahasa ketiga dan keempat sudah disediakan begitu lama dalam sistem pendidikan negara, generasi muda seharusnya mengambil peluang ini untuk menguasai bahasa asing selain bahasa Inggeris.
Jom, kita bincangkan:
Sejauh mana pentingnya bahasa ketiga ini khususnya buat masyarakat di negara kita?
Bahasa ketiga memberi ruang untuk kita berkomunikasi dengan orang lain secara meluas
Dalam dikekelilingi oleh masyarakat berbilang kaum adalah wajar untuk kita mempelajari semua bahasa. Sebagai contoh, penguasaan bahasa Mandarin. Hal ini bukan sahaja berupaya memperbanyak kenalan, malahan komunikasi antara kaum juga dapat diperluas.
Bayangkan individu berbangsa Melayu dapat berkomunikasi dengan orang Cina tanpa had dan batasan bahasa. Menarik, bukan?
Bahkan, dengan menguasai bahasa asing, kita dapat berinteraksi dengan pelancong yang mengunjungi negara kita. Hal ini pasti memberikan kesan kepada mereka kerana mereka akan berasa lebih selesa untuk bertanya dan memahami penjelasan kita tentang budaya atau sejarah tempat yang mereka lawati sepanjang percutian mereka.
Bahasa ketiga meningkatkan ilmu pengetahuan
Ilmu pengetahuan yang meluas ditulis dalam pelbagai bahasa, khususnya bahasa Inggeris yang menjadi bahasa utama dunia.
Contohnya, untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang agama Islam seseorang wajib menguasai bahasa Arab yang merupakan bahasa kitab suci Al-Quran. Dengan penguasaan bahasa tersebut, mereka bukan sahaja memahami konteks yang disampaikan malah boleh berkongsi ilmu pengetahuan yang diperoleh kepada masyarakat setempat masing-masing agar bersama-sama menikmati manfaat daripadanya.
Bahasa ketiga membuka peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi
Penghantaran pelajar Malaysia ke luar negara merupakan antara inisiatif pihak kerajaan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Oleh itu, para pelajar ini perlu menguasai bahasa asing agar tidak kekok untuk menetap di sana sepanjang tempoh pengajian.
Bahan-bahan ilmiah atau rujukan juga dikeluarkan dalam pelbagai bahasa. Oleh itu, pelajar-pelajar di dalam mahupun luar negara seharusnya menguasai bahasa asing untuk memahami intipati ilmu yang dikongsikan.
Bahasa ketiga membuka peluang pekerjaan yang lebih meluas
Hidup dalam kalangan masyarakat majmuk telah mempengaruhi syarikat-syarikat tempatan untuk mencari pekerja yang mempunyai kemahiran berbahasa asing. Hal ini memudahkan urusan syarikat sekiranya harus berunding dengan pelanggan yang berlainan bangsa.
Tambahan pula, individu yang menguasai bahasa asing ini mampu menjadi aset penting negara dalam menarik pelabur asing supaya melabur dalam negara kita.
Secara amnya, pelbagai faedah akan diperolehi individu yang mahir dengan bahasa ketiga. Oleh itu, kemahiran bahasa ketiga amat penting dalam kalangan masyarakat hari ini khususnya generasi muda.
Ayuh, kuasai bahasa ketiga!
Dapatkan kelas-kelas bahasa dewasa seperti bahasa Mandarin, bahasa Korea, bahasa Arab dan berbagai-bagai kelas di Edufy hari ini.
Semoga bermanfaat!