Dalam menerajui arus modenisasi, sistem pendidikan telah mengalami anjakan paradigma yang begitu pesat. Peranan ibu bapa amat diperlukan dalam penguasaan pendidikan anak-anak. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya ibu bapa digelar sebagai rakan pintar pendidikan anak-anak hari ini.
Bagaimana acuan, begitulah kuihnya
Peribahasa ini jelas sekali menyatakan bahawa setiap tingkah laku ibu bapa memainkan peranan yang penting bagi pembentukan jati diri anak-anak. Dalam hal ini, ibu bapa wajar menjadi suri teladan dalam membentuk keperibadian yang baik dalam diri anak-anak.
Jika diteliti dengan lebih mendalam lagi, ibu bapa seharusnya
- memastikan anak-anak mendapat pendidikan awal yang sempurna sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan. Dalam hal ini, amatlah penting untuk ibu bapa memastikan anak-anak menguasai kemahiran 3M (Membaca, Mengira dan Menulis) seawal 5 hingga 6 tahun.
- memantau gerak geri anak-anak selepas waktu persekolahan serta pergaulan anak mereka.
- cakna mengenai tugasan kerja rumah yang diberikan oleh guru.
- cakna dan memberikan sokongan mengenai kebolehan dan bakat terpendam anak-anak dalam bidang kemahiran, sukan dan lain-lain lagi.
Bukan itu sahaja, sokongan ibu bapa ini lebih kepada tanggungjawab mereka di rumah bagi memastikan kesinambungan pembelajaran yang berlaku di sekolah dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian pelajar sewaktu mereka berada di rumah lebih-lebih lagi sewaktu cuti sekolah mahupun pada hujung minggu.
Kehadiran ibu bapa ke sekolah melalui perjumpaan ibu bapa-guru, bantuan mengajar tugasan sekolah, pembelajaran di rumah, penyertaan ibu bapa dalam membuat keputusan dan perancangan aktiviti sekolah juga diperlukan sebagai rakan pintar pendidikan anak-anak.
Langkah sebegini secara tidak langsung memberikan impak yang positif kepada pencapaian akademik anak-anak. Ibu bapa juga diingatkan supaya memberikan tumpuan kepada anak-anak pada peringkat sekolah menengah.
Alasan seperti ini merupakan alasan tidak relevan :
- anak-anak pada peringkat menengah ini sudah pandai berdikari
- tumpuan wajarnya diberikan kepada anak-anak yang masih kecil
Dalam konteks ini, tanggungjawab ibu dan bapa tidak boleh dilepaskan seratus peratus kepada orang lain atau kepada pihak sekolah sahaja. Bebanan mengasuh dan mendidik adalah tugasan ibu bapa dan disokong serta dibantu oleh guru-guru di sekolah. Ia merupakan amanah dan ia bukan satu bebanan.
Modal insan yang berkualiti pastinya dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa memberikan sokongan yang padu sebagai rakan pintar pendidikan anak-anak bagi menghadapi dunia baharu yang serba pantas lagi kompleks ini.
MyTutor kini menyediakan platform khas yang menghubungkan ibu bapa dan tutor-tutor berpengalaman di seluruh Malaysia dalam memberikan pendidikan yang terbaik buat anak-anak. Dapatkan kelas di rumah secara fizikal mahupun online bersama tutor terbaik mengikut keperluan anak-anak anda dan sesuai dengan bajet anda. Pelbagai jenis tutoring berkenaan kemahiran tambahan seperti masakan dan pastri, kemahiran coding dan lain-lain lagi. Jangan lepaskan peluang untuk menyertai komuniti MyTalents yang menawarkan pelbagai program kemahiran buat anak-anak cilik anda.
Semoga bermanfaat!