14.9 C
New York
Saturday, October 12, 2024
spot_img

Pengurusan Masa Efektif – Bagaimana?

Berapa ramai yang masih gagal untuk menguruskan masa dengan baik? Masih terbabas dan terleka dalam melakukan tugasan yang sepatutnya dilakukan? Saya yakin masih ramai. Pengurusan masa melibatkan disiplin yang tinggi. Jika disiplin tidak ada, saya pasti pengurusan masa anda juga berterabur dan tidak di uruskan dengan baik.

Kali ini kita menyelusuri rahsia Surah al-Asr. ALLAH SWT berfirman:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah al-Asr 103:1-3).

Surah al-Asr adalah antara surah yang terpendek di dalam al-Quran. Surah ini mengandungi tiga ayat yang membentangkan kepada kita tentang cara-cara untuk berjaya dalam kehidupan dan selamat di dunia dan akhirat. Imam al-Shafie berkata tentang surah ini, “Seandainya manusia merenungi surah ini, nescaya surah ini telah mencukupkan mereka.”

Surah ini juga menerangkan tentang masa. Banyak yang kita boleh ambil iktibar daripada surah ini. Masa tidak dapat diulang kembali. Maka sebaiknya kita haruslah memanfaatkan masa yang ada dalam melakukan perkara-perkara yang baik dan berfaedah.

1. Sediakan Jadual Harian

Menyediakan jadual harian dapat membantu anda untuk lebih kekal fokus dalam melakukan tugasan harian anda. Sediakan satu jadual ringkas dan tampal pada bahagian yang mudah untuk di lihat. Jadual yang mudah dilihat dapat mengingatkan anda untuk kekal fokus terhadap tugasan yang perlu diselesaikan. Jadual tidak perlu terlampau padat, cukup sekadar memasukan tugasan-tugasan penting yang perlu dilakukan setiap hari.

2. Senaraikan Perkara yang Ingin Dilakukan

Selain mempunyai jadual harian, hasilkan senarai tugasan yang ingin dilakukan bagi hari atau minggu tersebut. Jangan sekadar hanya ingat di dalam kepala kerana lumrah setiap manusia, kita akan terlupa. Seeloknya, tulis di atas sehelai kertas, kemudian tampalkan di sebelah jadual anda. Anda boleh pangkah setiap tugasan yang telah selesai bagi memudahkan lagi pihak anda untuk memantau setiap tugasan anda. Lebih baik jika anda boleh tuliskan sekali garis masa bagi setiap tugasan tersebut.

3. Tetapkan Matlamat yang Ingin Dicapai

Bekerja tanpa matlamat adalah kerja yang agak sia-sia. Sebaiknya, tetapkanlah matlamat yang ingin dicapai bagi setiap tugasan. Apabila kita mempunyai matlamat, sepastinya kita akan lebih fokus dalam menyiapkan tugasan tersebut. Tulis matlamat pada setiap tugasan dan pastikan matlamat anda jelas. Saya juga percaya jika kita menetapkan matlamat, kita akan rasa lebih bersemangat.

4. Bahagikan Aktiviti Harian Mengikut Keutamaan

Bila anda sudah ada jadual, ianya satu langkah yang bagus namun jangan lupa untuk susun aktiviti harian anda mengikut keutamaan. Lakukan perkara yang penting terlebih dahulu. Jangan bazirkan masa anda untuk melakukan perkara yang kecil dan tidak utama. Pastikan anda sudah selesai tugasan yang besar barulah anda selesaikan tugasan-tugasan kecil.

5. Tetapkan Had Masa Bagi Setiap Tugasan

Hal ini mungkin nampak remeh namun ianya sering terlepas pandang oleh ramai pihak. Perasan atau tidak? Kita sering meluangkan masa yang berlebihan terhadap sesuatu tugasan sedangkan tugasan tersebut sebenarnya boleh diselesaikan dalam masa yang lebih singkat. Maka, anda disarankan untuk menetapkan masa bagi setiap tugasan yang ingin diselesaikan agar pengurusan masa lebih efisen.

Pasti lebih banyak tugasan yang dapat diselesaikan apabila kita menetapkan had masa bagi setiap tugasan yang ada. Jangan sekadar tetapkan masa sahaja. Pastikan anda mengikut masa yang telah dihadkan dan memantau masa dari masa ke semasa ketika melakukan tugasan tersebut.

6. Jangan Suka Bertangguh

Sikap suka bertangguh inilah yang sering memakan diri kita. Tanpa kita sedar, kerja yang perlu diselesaikan tidak dapat diselesaikan. Ada juga yang berjaya menyelesaikan tugasan tersebut namun bagaimana pula dengan kualiti kerja tersebut? Saya pasti ianya hanyalah berkonsepkan ala kadar dan sekadar melepaskan batuk di tangga. Akhirnya, kita sendiri akan menyesal dengan tindakan diri sendiri.

Ubah diri anda untuk tidak menangguh kerja. Berikan komitmen serta fokus yang baik dalam menyelesaikan sesuatu tugasan. dengan disiplin yang tinggi, saya pasti kita semua boleh buang sikap suka menangguh kerja ini. Tiada apa yang mustahil dan yakinlah dengan diri anda.

Related Articles

Stay Connected

0FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles