Sedar atau tidak, di kala pandemik yang melanda negara selama lebih daripada dua tahun ini memberikan banyak impak negatif, masih lagi terselit impak positif yang boleh kita ambil. Antara impak positif adalah berkaitan pendigitalan pendidikan. Akibat kekangan untuk keluar, pihak kerajaan dan yang terbabit telah mengambil inisiatif untuk menggunakan digital sebagai salah satu cara orang ramai bekerja serta ke sekolah.
Masihkah kita ingat dengan terma bekerja di rumah, bekerja secara dalam talian dan kelas secara dalam talian? Tidak dilupakan juga kebanyakan latihan di sekolah turut diberikan dalam bentuk digital menggunakan tema gamifikasi. Budaya ini masih diteruskan sehingga hari ini dan ya, sekarang ianya juga tidak asing dan telah menjadi sebahagian daripada norma masyarakat kerana ianya turut membawa kesan positif pada sesetengah pihak.
Transformasi digital dalam dunia pendidikan banyak memberikan impak positif dan manfaat terhadap masyarakat. Walaupun pada mulanya ia menjadi dilema serta cabaran hebat, namun akhirnya, hari ini ia memberikan pelbagai impak positif terhadap guru serta pelajar. Yang seronoknya, transformasi ini membuatkan ramai pihak mempunyai akses terhadap kelas, latihan dan maklumat berkaitan pendidikan.
Kepentingan pendidikan digital dalam pendidikan telah menjadi bualan hangat oleh pelbagai pihak dek kerana ramai yang semakin cakna akan kesan positif penglibatan digital di dalam dunia pendidikan. Pembelajaran dalam talian didefinasikan sebagai pengajaran menggunakan internet dan teknologi berkaitan untuk pembangunan dan penyediaan bahan pengajaran, penyampaian dan juga pengurusan kursus menggunakan platform bersesuaian.
Di Malaysia, pembelajaran dalam talian melalui Massive Open Online Course (MOOC) adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 bagi menyokong agenda Lonjakan 9: Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global. Usaha ini juga boleh dilihat sebagai salah satu inisiatif pihak kerajaan dalam menjayakan transformasi digital yang diusahakan sejak 2017 dan mula mendapat perhatian serius dan meluas dengan pengambilalihan stesen tv NTV7 dengan penjenamaan semula sebagai Didik TV untuk menjadikannya saluran pendidikan perdana dalam talian.
Semasa pandemik saluran tv ini lebih banyak menyiarkan topik-topik pendidikan melibatkan pendigitalan berbentuk gamifikasi. Guru-guru turut mengambil inisiatif tambahan dalam menghasilkan bahan-bahan mengajar berbentuk digital yang boleh di akses dan digunakan oleh semua pelajar. Ramai pelajar yang teruja melihat bahan belajar yang berwarna-warni serta bergerak-gerak melibatkan animasi yang digunakan di dalam nota mahupun latihan yang telah disediakan.
Penggunaan digital juga membolehkan pelajar untuk menjadi lebih berdikari terutamanya pelajar sekolah menengah dan ke atas. Hal ini kerana mereka boleh mengakses bahan pembelajaran di mana sahaja pada bila-bila masa tanpa had. Belajar sendiri sudah mula menjadi norma apabila pelajar-pelajar ini ingin mencari maklumat tambahan berkenaan dengan topik atau tajuk yang ingin dipelajari hanya dengan kemudahan di hujung jari.
Latihan yang berbentuk gamifikasi serta interaktif membuatkan lebih ramai yang suka dan minat untuk melakukan latihan dengan lebih kerap tanpa rasa jemu dan bosan. Hal ini secara tidak langsung dapat memupuk sikap yang lebih positif dalam kalangan pelajar. Pelajar akan berasa lebih seronok untuk belajar. Proses pembelajaran akan lebih kerap berlaku dan menyumbang kepada peningkatan prestasi akademik pelajar tersebut. Maka, gunakanlah kemudahan digital ini sebaiknya.