9.5 C
New York
Sunday, May 5, 2024
spot_img

3 Pelajar Aspirasi Malaysia

Kejayaan dalam pendidikan tidak kiralah pada peringkat rendah, mahupun tinggi sememangnya menjadi dambaan buat para pelajar.

Pelajar-pelajar cemerlang merupakan harapan ibu bapa, keluarga, masyarakat dan juga negara yang disasarkan untuk menjadi suri teladan serta generasi pelapis pemimpin masa depan negara.

Kejayaan para wanita ini dikongsikan sebagai inspirasi buat anak-anak di Malaysia untuk terus berjuang mendapatkan pendidikan yang tertinggi sekali gus menempa nama di mata dunia.

Janusha a/p Bala Krishnan Muthiah

Anak kelahiran Kuala Lipis ini telah mencipta sejarah di bumi Amerika Syarikat apabila menjadi pegawai wanita pertama dari Angkatan Tentera Malaysia yang berjaya menamatkan Pengajian dan Latihan Ketenteraan di United States Naval Academy (USNA).

Kejayaan Pegawai Kadet Kanan (PKK) ini perlu dijadikan inspirasi dan motivasi kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai keazaman serta kegigihan untuk berjaya.

PKK Janusha dari Class of 2022 telah mula menjalani pengajian dan latihan ketenteraan di USNA pada tahun 2018. Turut bersama beliau menjalani latihan selama empat tahun ini adalah 1085 pelatih dari Amerika Syarikat dan 14 pelatih dari luar negara. Kejayaan PKK Janusha menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan di salah sebuah pusat latihan tentera terbaik di dunia ini membuktikan kewibawaan dan kemampuan wanita muda Malaysia untuk bersama bersaing di dalam bidang yang lebih dipelopori oleh kaum lelaki.

Irdina Shahriman

Wanita yang berusia 24 tahun ini mencipta sejarah yang membanggakan negara apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang sekaligus menduduki tempat pertama dalam kalangan hampir 10,000 pelajar di Virginia Tech (VT), Amerika Syarikat.

Irdina Shahriman yang mengikuti Program Pertukaran Sarjana Muda Amerika (ADTP) Yayasan Tenaga Nasional, mencapai purata mata gred kumulatif (CGPA) 4.0 secara konsisten di dalam Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektrik dari 2018 hingga 2021.

Malah lebih membanggakan, Irdina yang mendapat tajaan biasiswa Tenaga Nasional Berhad ini telah dianugerahkan pingat Phi Kappa Phi untuk Kolej Kejuruteraan, anugerah yang diberikan kepada graduan senior dengan pencapaian akademik tertinggi.

Dalam suatu kenyataan akhbar, Irdina menyatakan bahawa beliau bekerja keras untuk mengecapi kejayaan yang diperoleh selain sikap tabah dan percaya pada diri telah membantunya mengatasi rasa takut mencuba dan melakukan kesilapan.

Fakhirah Khairuddin

Anak muda berusia 25 tahun ini merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Putra, Besut Terengganu. Fakhirah pernah melanjutkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa di Universiti California, San Diego dengan tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Tamat saja pengajian pada 2019, beliau kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang kejuruteraan mekanikal di tempat yang sama dengan tajaan sepenuhnya daripada University California.

Pada usianya yang muda, anak kelahiran Alor Setar ini sudah menggalas tanggungjawab yang besar sebagai Pengajar Jurutera Teknik Latihan Robotik di syarikat tersebut selain mengajar robotik FANUC dan KUKA kepada jurutera dan juruteknik di TESLA.

Di Amerika Syarikat, wanita ini menimba pengalaman untuk bekerja sebagai jurutera pembangunan populasi di Universiti California. Beliau telah ditugaskan untuk menulis kod matlab bagi mengkaji keadaan haba enjin roket.

Selain itu, beliau juga pernah memenangi tempat pertama di Northrop Grumman System Engineering Challenge pada 2019 hasil penampilan projek lengan robotik yang direka olehnya. Pengalaman yang lebih mengagumkan, dia turut bersaing dengan 50 pasukan yang lain ketika pertandingan tersebut.

Bukan itu saja, beliau juga mereka cipta quadcopter, casing sensor dan gear pendaratan di Solidworks dan menunjukkan konsep terbaharu itu melalui ujian cetakan 3D.

Sikap kepimpinan beliau juga turut menjadi perhatian apabila dia menjadi ketua pasukan dan menerajui penyelidikan dan pengembangan Projek Hexacopter dengan University of California, San Diego.

Jadi, tidak hairanlah jika TESLA mengambil Fakhirah untuk bekerja di syarikat gergasi itu dalam bidang automotif.

Hebat, bukan?

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Oleh itu, para pelajar khususnya masih di bangku sekolah boleh jadikan kejayaan wanita-wanita ini sebagai inspirasi dalam mengejar cita-cita anda. Walau apa-apa jua halangan dan cabaran, janganlah putus asa. Teguhkan keazaman anda dan teruskan usaha!

Semoga bermanfaat!

Related Articles

Stay Connected

0FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles