9.6 C
New York
Saturday, May 4, 2024
spot_img

Remaja hebat kuasai pelbagai kemahiran

Dalam menempuh arus eraglobalisasi, pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh generasi kini. Dalam konteks ini, generasi muda khususnya para remaja yang merupakan bakal pemimpin negara wajarlah mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran.

Terdapat 3 kemahiran penting yang perlu ada pada setiap individu hari ini:

i) Kemahiran komunikasi

ii) Sifat kepimpinan

iii) Penguasaan teknologi

KEMAHIRAN KOMUNIKASI

Remaja yang hebat ialah remaja yang mampu menggunakan medium komunikasi dalam sebarang penyelesaian masalah. Sebagaimana yang kita maklumi, dalam menempuhi alam kerjaya masa kini, kemahiran komunikasi menjadi aspek penting dari segi interaksi dan komunikasi dengan masyarakat selain mutu kerja yang berkualiti. Oleh itu, wajarlah sekiranya kemahiran ini dikuasai oleh semua remaja.

Selain lancar dalam komunikasi, remaja juga digalakkan untuk memahirkan diri dengan pelbagai bahasa. Jadi, buat remaja di luar sana, anda digalakkan untuk menguasai bahasa asing seperti bahasa Mandarin, Jepun, Korea selain bahasa Inggeris yang merupakan bahasa utama dunia.

Anda bukan sahaja dapat memahami lebih banyak budaya, malah peluang kerjaya yang menjanjikan pendapatan yang lumayan sudah pasti dalam genggaman anda sekiranya anda melengkapkan diri dengan kemahiran komunikasi ini.

SIFAT KEPIMPINAN

Mungkin ada antara anda yang memandang enteng akan perkara ini walhal sifat kepimpinan ini diperlukan oleh insan di atas muka bumi. Siapa sahaja yang terlepas daripada menjadi pemimpin?

Jelas sekali dalam kehidupan, seorang lelaki akan menjadi pemimpin kepada keluarganya sama ada sebagai seorang suami, ayah, abang dan juga pemimpin masyarakat. Begitu juga wanita, anda akan menjadi seorang ibu, mungkin juga seorang kakak, setidak-tidaknya anda mungkin diperlukan sebagai seorang teman.

Apatah lagi apabila melibatkan dunia kerjaya, untuk anda naik pangkat dengan mudah dalam sesuatu organisasi mahupun membuka perniagaan sendiri, sifat kepimpinan amatlah diperlukan.

Oleh itu, ambillah peluang untuk memupuk sifat kepimpinan dalam diri anda sejak anda di bangku sekolah lagi. Anda boleh membina sifat kepimpinan dalam diri apabila menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah terutamanya aktiviti berunsurkan persatuan dan pasukan beruniform itu. Remaja akan dididik dengan cara untuk menguruskan sesuatu projek dengan lancar dan efektif sambil memahami ciri-ciri manusia secara umumnya.

Mudah, bukan?

PENGUASAAN TEKNOLOGI

Kemajuan dalam teknologi komunikasi begitu pesat membangun saban hari. Oleh itu dunia teknologi yang berunsurkan komputer, telefon bimbit, dan satelit yang harus difahami oleh remaja.

Remaja hendaklah membiasakan diri menggunakan peralatan komputer dan sebagainya untuk memastikan pengetahuan mereka terhadap teknologi komunikasi moden begitu mendalam. Hal ini penting kerana teknologi maklumat ini dapat mempercepatkan proses penyebaran dan pemerolehan maklumat melalui rangkaian intenet dan laman web.

Untuk menguasai bidang ini ,para pelajar digalakkan menyertai kelab teknologi maklumat di sekolah. Remaja juga digalakkan untuk meneroka dunia teknologi dengan pemantauan ibu bapa.

Fasa remaja merupakan fasa penerokaan. Hargai zaman remaja anda dan pilih sisi yang terbaik dalam melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan pada masa hadapan.

Semoga bermanfaat!

Related Articles

Stay Connected

0FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles