4.9 C
New York
Wednesday, November 13, 2024
spot_img

Belajar dengan Efektif: 12 Tip Kejayaan

1. Tempat belajar yang sesuai.

Tempat belajar sangat memainkan peranan, namun ramai yang terlepas pandang akan hal ini. Pastikan ruangan belajar anda selesa, mendapat pengudaraan serta pencahayaan yang baik. Buka tingkap bagi udara segar dapat memasuki ruangan belajar. Suhu bilik juga memainkan peranan. Bayangkan jika anda belajar dalam keadaan yang terlalu panas atau sejuk, sepastinya anda tidak dapat memberikan tumpuan yang baik ketika belajar.

Selain daripada itu, pastikan kerusi anda selesa dan meja anda juga kemas. Tempat belajar yang tidak tersusun serta serabut juga akan menyukarkan anda untuk berfikir ketika belajar. Hal ini akan menyebabkan anda mudah berasa bosan serta terganggu untuk melakukan perkara lain yang tidak penting.

Tidak dilupakan juga, jauhkan tempat belajar anda daripada gajet seperti televisyen, komputer dan juga telefon bimbit. Ke semua yang dinyatakan merupakan elemen paling kuat dalam membuat anda leka dan terganggu ketika sesi ulangkaji sedang berlangsung.

2. Merangsang ke semua deria dalam pembelajaran.

Penggunaan semua deria anda ketika belajar sangat efektif jika anda cakna tentang kepentingan deria ini ketika belajar. Kajian menunjukkan bahawa:

  • anda ingat 10% apa yang dibaca
  • anda ingat 20% apa yang didengar
  • anda ingat 50% apa yang didengar dan dilihat
  • anda ingat 70% apa yang dicakapkan
  • anda ingat 90% setelah dipraktikkan

Maka secara tidak langsung, seharusnya anda suda pun sedar ketika ini bahawasanya membaca sahaja tidak cukup kerana ianya hanya merangsang 10-20% sahaja kepada ingatan anda. Sebaliknya peratusan yang paling tinggi adalah anda akan ingat apa yang anda lakukan dan cakapkan/bualkan.

Di sini apa yang anda boleh lakukan ialah, untuk mengadakan aktiviti belajar berkumpulan dan bercakap bergilir-gilir bersama rakan anda mengenai apa yang telah dibaca, didengar dan dilihat. Seterusnya mempraktikkan ilmu tersebut melalui latihan untuk melihat tahap kefahaman anda terhadap apa yang telah dipelajari.

Bagaimana pula jika saya tidak suka belajar secara berkumpulan? Jangan risau kerana ianya bukanlah satu isu yang besar dan tidak diselesaikan. Apa yang anda boleh buat adalah bercakap dan bayangkan seolah-olah anda membentangkannya kepada seseorang. Mudah bukan?

Seterusnya, buat banyak latihan yang mengaitkan sesuatu formula hingga terbiasa dan mahir walau soalan itu dipusing-pusing. Lakukan latih tubi supaya lama-kelamaan anda mudah untuk mengingati formula atau cara penyelesaian soalan tersebut. Lakukan ulang kaji di rumah secara berterusan. Ketiga-tiga aktiviti ini membantu anda dalam mengingati hampir 90% daripada apa yang telah anda pelajari.

3. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri.

Selalu anda akan dengar pendapat dan saranan berkenaan masa yang baik untuk belajar. Tiada masalah jika anda boleh mengikut masa yang disarankan kerana ianya lebih bagus dam baik. Antara masa yang disarankan untuk belajar ialah ketika sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas membaca Al-Quran/zikir, selepas beriadah dan juga selepas berdoa.

Ada juga yang menyarankan untuk belajar sewaktu 3-4 pagi namun ada pelajar yang susah untuk bangun pada waktu tersebut. Jangan kecewa mahupun sedih. Pilihlah masa yang sesuai dengan anda supaya anda sendiri lebih selesa dan semangat ketika sesi ulangkaji. Saya dahulu lebih suka belajar pada waktu 8 malam sehingga 12 malam. Adakalanya saya akan belajar pada jam 11 pagi di hujung minggu.

4. Mengulang kaji secepat mungkin.

Kadangkala, anda alpa dan sering melakukan perkara yang tidak penting terlebih dahulu. Namun tahukah anda, jika anda segera mengulangkaji sesuatu yang dipelajari di sekolah dengan cepat, anda akan lebih mengingati apa yang dipelajari itu dengan lebih baik berbanding jika anda melengah-lengahkan waktu ulangkaji tersebut.

Sebaiknya, lakukanlah sedikit ulangkaji ringkas selepas belajar kerana hakikatnya ialah anda akan lupa 80% apa yang telah dipelajari selepas sesi belajar berlangsung. Sebaiknya, lakukan ulangkaji sekerap mungkin walaupun masa yang diperuntukkan untuk mengulangkaji adalah singkat.

5. Pilih snek sesuai.

Dengar seperti remeh bukan? Namun snek dan juga makanan banyak memberikan impak sebenarnya. Amalkan makanan yang sihat dan seimbang agar badan anda sentiasa berasa cergas dan segar setiap masa. Apabila kondisi badan di dalam keadaan yang baik, lebih mudah untuk anda lakukan ulangkaji bila-bila masa.

Elakkan makan makanan yang mengandungi banyak bahan kimia seperti makanan ringan dan makanan segera kerana ianya tidak baik untuk kesihatan. Anda juga tidak digalakkan untuk minum minuman bergas. Buah-buahan, kekacang dan juga air kosong adalah baik untuk mengekalkan kecerdasan otak manusia.

6. Guru sebagai sumber rujukan.

Sekiranya ada yang anda tidak faham ketika berada di dalam kelas atau ketika sesi belajar, janganlah segan untuk bertanyakan kepada guru anda. Mereka merupakan orang yang paling layak untuk menjawab segala persoalan anda berkenaan apa yang anda sudah pelajari.

Ramai yang melakukan kesilapan di mana mereka malu ataupun takut untuk bertanyakan soalan terhadap guru mereka sendiri. Akhirnya mereka tidak faham dan tertekan dengan subjek ataupun topik tersebut. Yakinlah bahawa tiada guru yang tidak mahu membantu anak murid mereka. Saya sebagai seorang guru, lebih gemar apabila anak murid saya bertanyakan soalan.

7. Jadikan nota menarik untuk dibaca.

Apabila menghasilakan nota belajar, hasilkanlah nota yang berkualiti, kemas dan menarik. Jangan buat nota secara cincai kerana akhirnya anda yang hilang minat untuk membaca nota tersebut semula. Bukan ke banyak kerja untuk menghasilkan nota itu semula? Maka, apabila menghasilkan nota, hasilkan nota yang berkualiti dan boleh digunapakai selama yang mungkin.

Antara idea penghasilan nota ialah buat nota dalam bentuk-bentuk yang dapat menarik minat anda untuk membaca seperti peta minda atau sebagainya. Gunakan warna yang menarik. Buat nota ringkas yang tidak terlalu rumit untuk dibaca semula. Kemudian tampalkan nota anda itu ditempat yang mudah untuk anda lihat dan baca semula.

Jangan lupa untuk wujudkan kata kunci, gambar rajah atau akronim ketika menghasilkan nota. Kedua-dua ini membantu untuk otak anda mengingati sesuatu yang dipelajari dengan lebih baik. Secara tidak langsung, anda akan dapat skor subjek tersebut. Jangan pandang remeh pada ketiga-tiga elemen ini ya.

8. Tingkatkan motivasi anda.

Kalau hendak berjaya, sepastinya anda perlu memastikan bahawa anda sentiasa mempunyai motivasi yang tinggi untuk terus belajar dan belajar. Sentiasa positif dan fikir perkara yang berfaedah sahaja agar anda sentiasa bersemangat dan tidak mudah berputus asa.

Elakkan berfikir perkara yang memesong, perkara-perkara negatif yang boleh merosakkan minda. Ianya hanya akan membuatkan anda berasa kecewa dan berputus asa. Jangan sesekali anda jadikan peperiksaan satu beban untuk anda belajar. Teruskan matlamat dan capai azam yang telah anda impikan.

9. Jagalah masa anda.

Seringkali kita lalai dengan masa. Berangan dan juga melakukan perkara-perkara yang tidak penting dan juga sia-sia. Ada sebilangan yang suka menangguh kerja yang mana di kemudian hari bakal menyusahkan diri kita semula. Jagalah masa anda kerana masa yang berlalu tidak boleh diulang semula. Gunakan masa anda sebaik mungkin.

Isi masa lapang anda dengan perkara yang berfaedah seperti beriadah, membaca buku, mengulangkaji atau melakukan hobi yang memberikan manafaat terhadap anda. Orang yang bijak mengendalikan dan menjaga masa mereka adalah orang yang berjaya dan berdisplin. Maka, berhati-hatilah dan sentiasalah mengawasi diri anda sendiri daripada mencuri masa terutamanya ketika belajar dan bekerja.

10. Ganjaran kepada diri sendiri.

Dengar macam remeh tetapi percayalah bahawa anda akan lebih menghargai usaha dan penat jerih anda bersengkang mata untuk mencapai matlamat apabila anda memberikan ganjaran kepada diri anda sendiri. Tetapkan matlamat dan ganjaran anda. Jika anda mencapai matlamat tersebut, ganjarkan diri anda dengan ganjaran yang anda sudah tetapkan.

Ganjaran yang bagaimana yang harus saya tetapkan. Pastikan ganjaran tersebut relavan dan tidak melebih-lebih. Sebagai contoh ganjaran makan makanan kegemaran, keluar bersama rakan atau bermain bowling bersama keluarga.

11. Persediaan awal.

Berapa ramai di sini yang selalu melakukan persiapan belajar secara saat akhir dan kemudiannya menyesal dengan tindakan tersebut? Saya pasti ramai. Jangan suka lakukan persiapan secara saat akhir kerana akhirnya anda sendiri juga yang stress dan juga kecewa terhadap tindakan diri sendiri. Bukan itu sahaja, kadangkala menyesal tak sudah.

Bersedialah lebih awal, baik untuk peperiksaan mahupun sebelum belajar. Lebih mudah untuk menyerap ilmu ketika belajar serta memberikan yang terbaik ketika di dalam peperiksaan nanti. Bukanlah perkara yang rumit untuk di laksanakan. Jadi apa salahnya anda biasakan diri untuk melakukan persiapan awal agar semuanya dalam kawalan.

12. Berdoa dan bersyukur.

Apabila segala usaha sudah anda lakukan, berdoalah agar segala urusan anda dipermudahkan dan segala impian serta matlamat anda dapat dicapai dengan mudah. Jangan lupa juga untuk berdoa sebelum belajar dan juga sebelum memulakan peperiksaan agar urusan kita dipermudahkan. Berdoa jugalah selepas selesai sesi pembelajaran sebagai tanda syukur kita terhadap ilmu yang telah diterima dan dipelajari.

Related Articles

Stay Connected

0FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles