Kurang daripada sebulan sahaja lagi ramadan akan muncul tiba. Bagaimana dengan persiapan anda untuk menyambut ramadan? Saya begitu teruja apabila Ramadan datang kerana ianya merupakan bulan yang banyak membawa kebaikan kepada umat islam.
Tidak lupa juga pasti ramai yang teruja untuk ke bazar Ramadan. Sudah terbayang pelbagai juadah, minuman serta kuih-muih yang bakal di jual. Bazar Ramadan selalunya sesak dan ramai terutamanya apabila mereka yang bekerja tidak sempat untuk menyediakan juadah berbuka maka membeli juadah akan menjadi pilihan yang sering dipilih.
Pasti ramai yang kadang-kadang tewas ketika berada di bazar Ramadan. Terbeli makanan yang lebih daripada yang sepatutnya dan berlakulah pembaziran. Makanan tidak habis dan lebih sedih makanan kadang di buang begitu sahaja apabila sudah di simpan berhari-hari di dalam peti ais. Jadi, bagaimana hendak elakkan pembaziran?
Beli apa yang perlu…
Nampak dan cakap sangat mudah. Ya, kan? Bila dah sampai bazar Ramadan, terus kita terlupa dan alpa dan akhirnya tewas. Tiba sahaja di rumah, eh terkejut melihat bag plastik yang banyak dan akhirnya kita menyesal.
Senang sahaja, ini apa yang selalu saya buat. Saya akan sediakan senarai makanan sebelum saya hendak ke bazar Ramadan. Saya kebiasaannya akan menetapkan satu hidangan utama serta satu atau dua kuih sahaja. Jika kuih tersebut di jual dalam kuantiti yang banyak, saya akan bungkus semula kuih tersebut di rumah dan berikan kepada jiran. Tidak membazir dan pahala juga dapat.
Kawal Nafsu Ketika Membeli
Maka disebabkan itulah pentingnya untuk anda buat senarai makanan yang hendak di beli. Bagaimana kalau teringin sangat hendak makan? Biasanya saya akan beli keesokkan harinya pula. Tanamkan sifat sabar. Ingat, inikan bulan Ramadan. Jangan mudah tewas dengan nafsu sendiri. Bulan Ramadan seharusnya mengajar kita sikap bersyukur serta mengajar kita bersabar.
Amalan membazir ini, amalan syaitan. Ha, jadi kenapa perlu kita buat? Ramadan pula hanya datang sekali sahaja setiap tahun. Maka, hargailah setiap Ramadan yang tiba, kita tidak akan pernah tahu bilakah Ramadan terakhir kita. Semoga Ramadan kali ini membawa 1001 keberkatan buat kita semua.