Lebih kurang seminggu sahaja lagi Ramadan akan tiba menjenguk kita semua. Hari ini, ingin saya kongsikan 8 Solat Sunat yang boleh kita lakukan pada bulan Ramadan sebagai salah satu aktiviti untuk kita mengumpul pahala serta mendapatkan keberkatan di bulan Ramadan.
Antara solat tersebut ialah:
1. Solat Tarawih
Solat yang dilakukan ketika bulan Ramadan. Solat Sunat Tarawih lebih istimewa berbanding solat-solat sunat lain adalah kerana ia dikhususkan untuk dilakukan pada bulan Ramadan, iaitu bulan yang padanya terdapat satu malam yang seribu kali lebih hebat daripada seribu bulan yang lain.
Allah SWT menjanjikan ganjaran istimewa berupa keampunan kepada mereka yang mengerjakan solat ini. Melaksanakan solat sunat terawih adalah antara amalan-amalan yang begitu dituntut (sunat muakkad) dalam bulan Ramadhan. Ia boleh dilakukan secara bersendirian di rumah mahupun berjemaah di masjid dan surau.
2. Solat Dhuha
Secara bahasa, al-Dhuha (الضحى) boleh diterjemahkan kepada “Waktu Pagi” atau “Sinar Pagi”. Oleh itu solat Sunat Dhuha adalah solat yang dilakukan pada waktu pagi, di antara waktu Solat Subuh dan Solat Zohor.
Solat Sunat Dhuha dilakukan untuk menghapuskan dosa dan agar murah rezeki. Terdapat banyak nas yang menyebutkan akan kelebihan dan kepentingan solat ini. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata:
Kekasihku telah berpesan kepadaku terhadap tiga perkara. (Iaitu) berpuasa sebanyak tiga hari dalam sebulan, dua rakaat solat dhuha, dan supaya aku melakukan solat witir sebelum aku tidur.
— Riwayat Muslim
3. Solat Taubat
Solat sunat taubat adalah solat yang disunatkan dilakukan apabila seseorang melakukan dosa atau merasakan diri telah berbuat dosa dan ingin bertaubat kepada Allah.
Selain dari istighfar dan menyesali segala kesalahannya, taubat nasuha juga boleh disempurnakan dengan melakukan Solat Sunat Taubat sebanyak dua rakaat.
Kita sebagai manusia biasa, tidak terlepas dari melakukan kesilapan, khilaf dan dosa. Dan sebaik-sebaik orang yang berbuat salah dan pendosa adalah mereka yang bersegera bertaubat.
4. Solat Tahajjud
Tahajjud menurut penggunaan bahasa bermaksud berjaga malam atau meninggalkan tidur. Oleh itu, Solat Sunat Tahajjud (صلاة سنة التهجد) merupakan solat sunat yang dilakukan pada waktu malam selepas terbangun dari tidur.
Solat itu juga disebut sebagai Qiyamullail. Solat sunat tahajjud digalakkan agar didirikan setiap malam. Solat Tahajjud ini seharusnya menjadi amalan lazim setiap muslim dalam usaha mendapat keredhaan dan keampunan Allah SWT.
Ini kerana melalui Solat Tahajjud ini seseorang hamba dapat bermunajat dan mengadu secara langsung kepada Allah SWT didalam suasana yang cukup hening dan sunyi di kala manusia lain sedang lena tidur.
5. Solat Hajat
Solat Hajat dikerjakan apabila kita memohon sesuatu hajat daripada Allah. Sama ada memohon kebaikan atau pun menolak sesuatu keburukan.
Allah berfirman:
Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.
— Surah Ghafir ayat 60
Tidak kira sama ada doa itu dalam keadaan terdesak atau semata-mata menunaikan kewajipan, setiap doa pasti Allah akan beri perhatian. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah menerusi sabdanya yang bermaksud:
Doa itu ialah senjata orang Mukmin, tiang agama dan cahaya langit dan bumi
— Riwayat al-Hakim no. 1218
Bertepatan dengan maksud solat dari segi bahasa sebagai doa, maka ibadat solat merupakan jalan yang terbaik untuk kita mengajukan doa, hajat dan permohonan kepada Allah. Diharapkan dengan solat yang kita laksanakan secara bersungguh-sungguh, Allah SWT akan memperkenankan doa yang kita hajati.
6. Solat Sunat Rawatib
Solat sunat rawatib adalah merujuk kepada solat-solat sunat yang mengiringi dan mengikuti solat fardu, sama ada sebelum atau selepas solat fardu lima waktu.
Solat Rawatib ini terbahagi kepada dua, iaitu:
- Solat sunat Qabliyyah (solat sunat sebelum solat fardu)
- Solat sunat Ba’diyyah (solat sunat selepas solat fardu)
Sebaik sahaja masuknya waktu solat fardu, maka solat sunat rawatib boleh dilaksanakan dan berterusan waktunya sehingga habis waktu solat fardu. Sunat Rawatib ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, termasuk golongan musafir yang mendirikan solat fardu secara qasar.
7. Solat Tahiyatul Masjid
Solat Sunat Tahiyatul Masjid adalah solat sunat sebanyak dua rakaat yang dilaksanakan sebaik sahaja seseorang itu masuk ke kawasan masjid atau surau, sebelum dia duduk.
Ia sunat mu’akkad ‘selamat datang’ bagi menghormati masjid dan sebagai ucapan salam kepada rumah Allah yang kita masuki (selain Masjidil Haram kerana tanda penghormatannya adalah dengan melakukan tawaf).
Oleh itu, disunatkan kepada orang yang memasuki masjid agar melaksanakan Solat Sunat Tahiyatul Masjid sebanyak dua rakaat pada bila-bila masa dia memasukinya, sama ada pada waktu larangan untuk solat ataupun bukan.
8. Solat Tasbih
Solat ini pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada bapa saudaranya Sayidina Abbas bin Abdul Mutalib r.a. Solat sunat tasbih diberikan nama sedemikian kerana diucapkan tasbih sebanyak 300 tasbih semasa mengerjakannya.
Dianjurkan mengerjakan solat sunat ini setiap malam dan sekiranya tidak mampu, dikurangkan kepada sekali seminggu. Sekiranya masih tidak mampu, dikurangkan kepada sekali sebulan.
Dan sekiranya masih tidak sanggup sekali sebulan, memadailah melakukannya sekali dalam setahun. Atau setidak-tidaknya sekali dalam seumur hidup.
sumber maklumat: akuislam.com
Mencari guru untuk membimbing anda lakukan solat wajib serta sunat dengan tertib yang betul? Bacaan yang betul? Terus layari MyTutor.my hari ini untuk dapatkan guru anda sekarang!