
“Tak kenal, maka tak cinta”
Perumpamaan ini sesuai sekali bagi menggambarkan situasi ibu bapa yang sering mengklasifikasikan bahawa Sijil Kemahiran Malaysia ini tidak setaraf dengan sijil-sijil lain yang ditawarkan di negara kita. Walhal, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa Sijil Kemahiran Malaysia ini ibarat jalan pintas buat anak-anak hari ini untuk menamatkan pelajaran seawal usia sekaligus menempatkan mereka dalam bidang kerjaya dengan pendapatan yang lumayan.
Oleh itu, dalam penulisan kali ini, kita akan bersama-sama menelusuri elemen-elemen yang terdapat dalam Sijil Kemahiran Malaysia
Pensijilan
Persijilan Kemahiran Malaysia merupakan sijil yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia bagi semua kaedah persijilan iaitu pentauliahan, sistem latihan dual nasional dan penilaian pencapaian terdahulu.
Berikut merupakan lima (5) tahap persijilan:
- Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1
- Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2
- Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3
- Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4
- Diploma Kemahiran Lanjutan Malaysia (DKLM) Tahap 5
Secara amnya, pelajar yang menduduki SKM belajar selama 1 tahun hingga 3 tahun (bergantung kepada program) untuk memperolehi kemahiran serta Sijil Kemahiran Malaysia bidang masing-masing. Pelajar boleh mendaftar di pusat bertauliah seawal usia 15 tahun.
Program Kemahiran (SKM) | Aspek | Program Akademik (Diploma/Ijazah dan seantara dengannya) |
20% hingga 30% | Kemahiran Teori | 60% |
70% hingga 80% | Amali | 40% |

3 kaedah mendapatkan Pensijilan Kemahiran Malaysia
1. Latihan di Institusi yang Diiktiraf
Kaedah melalui program latihan kemahiran di pusat-pusat bertauliah JPK bagi bidang & tahap kemahiran yang tertentu dan telah ditauliahkan.
2. Latihan Berorientasikan Industri (SLDN)
Kaedah latihan perantisan dalam Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang dijalankan di industri dan institut latihan kemahiran.
3. Pentauliahan Pencapaian Terdahulu (PPT)
Kaedah mendapatkan Persijilan Kemahiran Malaysia melalui pengalaman lalu (kerja atau latihan).
Calon dikehendaki mengemukakan bukti-bukti ketrampilan yang telah dimiliki untuk dinilai oleh Pegawai Penilai dan disahkan oleh Pengawai Pengesah Luaran yang dilantik oleh JPK
Faedah Persijilan Kemahiran Malaysia
Persijilan Kemahiran diiktiraf oleh industri di Malaysia
Persijilan Kemahiran Malaysia menyediakan suatu laluan kerjaya dan pembangunan diri yang menarik setanding dengan laluan kerjaya berasaskan kelayakan akademik.
Persijilan Kemahiran Malaysia berupaya melahirkan pekerja mahir yang terlatih dan berkelayakan untuk mempertingkatkan daya saing industri tempatan di pasaran dunia.
Kebolehpasaran graduan kemahiran adalah lebih tinggi berbanding dengan graduan universiti (diploma/degree/masters/PhD)
Hal ini menjadikan lepasan graduan SKM mudah diterima untuk mengisi kekosongan jawatan yang tersedia dalam industri dan pasaran dalam negara kita.
83.1 peratus graduan KV mendapat pekerjaan mengikut bidang pilihan dalam tempoh tiga bulan selepas graduasi, sekali gus membuktikan mereka menerima pengiktirafan daripada industri.
PENGARAH BAHAGIAN PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL (BPTV), ZAINUREN MOHD NOR
Lepasan SPM dan PT3 yang gagal juga dapat meraih pendapatan sehingga RM20, 000 sebulan.
Kemahiran teknikal pemegang SKM mendapat permintaan tinggi dalam industri. Oleh itu, tidak mustahil untuk pemegang SKM juga boleh mendapat pendapatan melebihi 5 angka sebulan, walaupun bekerja di bawah pengurusan majikan. Sebagai contoh dalam bidang minyak & gas (Oil & Gas), pekerjaan kimpalan bawah air (underwater welding) dan perpaipan (jurugegah) tidak kurang pentingnya dalam bidang ini.
Begitu juga bagi lepasan graduan dalam pensijilan ini yang menjadi majikan dalam menjalankan perniagaan sendiri yang pendapatan perniagaan mereka mencecah sejuta setahun seperti bidang kecantikan yang membuka francais dan juga penternak dan peladang yang merupakan lepasan graduan SKM.
Sijil Kemahiran Malaysia diterima di industri dan luar negara.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa graduan SKM yang memohon kerja di luar negara seperti UAE (Dubai), China (Beijing) dan Perth (Australia) melepasi kriteria-kriteria yang ditetapkan, sekaligus menyebabkan mereka diterima bekerja di sana dengan mudah.

Kelayakan Persijilan Kemahiran Malaysia
Syarat minimum menyertai latihan Persijilan Kemahiran Malaysia Kaedah Pertauliahan melalui Institusi Latihan yang diiktiraf, calon-calon mestilah :
Berusia sekurang-kurangnya 15 tahun
Boleh bertutur dan menulis dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris
Mempunyai SKM tahap yang lebih rendah untuk menyertai SKM tahap yang lebih tinggi dalam bidang kursus yang sama.
Carian Pusat Bertauliah dan Program-program yang ditawarkan
https://www.myspike.my/index.php?r=umum-pb%2Findex-umum
Program Sijil Kemahiran VS Program Sijil Akademik
Pemegang Sijil Kemahiran | Aspek | Pemegang Ijazah |
– Pelaksana | Ciri | -Pemikiran lebih tajam diasah -Memiliki kemahiran fikiran kritikal yang lebih tinggi |
Melaksanakan kerja-kerja pelbagai industri seperti perkilangan, perladangan, perhotelan dan sebagainya | Kategori | Pembuat keputusan, memikirkan dan merancang aspek kerja dengan teliti (termasuklah Akta, Peraturan & SOP) |
Sebagai kesimpulannya, kedua-dua sijil ini memainkan peranan yang penting.
Kalau dah ada sijil kemahiran, berusahalah untuk sambung ke peringkat Ijazah.
Apakah kebaikan sijil kemahiran + Sijil Akademik?
a. Mudah mendapat kenaikan pangkat ( Kebanyakan sektor swasta tidak perlukan Ijazah kelulusan MQA untuk kenaikan pangkat)
b. Berupaya meningkatkan status sosial dan membanggakan ahli keluarga serta menjadi suri teladan kepada anaka-anak anda kelak. Ilmu itu penting dan ilmu yang bermanfaat boleh bawa hingga ke penghujung hayat.
c. Membolehkan pelajar menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti Ijazah, Master dan Phd pada masa akan datang jika berminat.
Begitu juga sebaliknya, kalau dah ada Ijazah, adalah menjadi suatu kebaikan jika anak-anak dapat belajar kemahiran teknikal (jangka pendek/panjang) ataupun persijilan melalui pengalaman kerja terdahulu (PPT).
Menarik, bukan? Kenapa perlu memilih salah satu sekiranya anda boleh mendapatkan kedua-duanya sekali!
Semoga bermanfaat.