18.3 C
New York
Monday, April 29, 2024
spot_img

Ibu Bapa sebagai Suri Teladan

Ayah dan ibu
Ayah dan ibu
Itulah permulaan kami
Dapat melihat bulan dan matahari
Ahai…

Lirik lagu karya Allahyarham Sudirman Haji Arshad di atas jelas sekali menggambarkan bahawa peranan ayah dan ibu sangat penting sebagai permulaan anak-anak. Untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, ibu bapalah yang merupakan tonggaknya. Dalam konteks ini, ibu bapa wajar bertindak sebagai suri teladan buat anak-anak.

Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi

Konsep di atas jelas sekali menunjukkan setiap tindak-tanduk ibu bapa akan menjadi ikutan anak-anak. Bagi pemupukan akhlak yang baik dalam diri anak-anak, ibu bapa wajarlah menunjukkan contoh yang baik di samping menyuntik elemen nilai murni seperti keprihatinan, baik hati dan bersopan santun.

Sebagai analoginya para ibu yang bertukar-tukar juadah dengan jiran tetangga memberikan contoh yang baik buat anak mereka dalam mengamalkan nilai baik hati dengan jiran tetangga.

Membantu jiran yang berada dalam keadaan yang memerlukan seperti menjaga rumah sewaktu ketiadaan mereka dan menghantar jiran ke klinik ketika sakit serta memberikan sumbangan dalam bentuk tenaga sewaktu acara gotong-royong mahupun kenduri kendara berupaya menerapkan elemen keprihatinan dalam diri anak anda.

Bertegur sapa dengan jiran tetangga juga berupaya menjadi elemen yang baik dalam kehidupan seharian.

Pendekatan sebegini pastinya menjadikan anda sebagai ibu bapa yang disegani oleh anak-anak dan juga masyarakat sekeliling. Pastikan anak anda bukan sahaja melihat perbuatan anda ini, berikan dorongan kepada mereka untuk bersama-sama anda melakukan aktiviti-aktiviti sebegini. Benarlah kata pepatah alah bisa, tegal biasa.

Jejak Langkah

Gaya hidup yang sihat juga bermula dari rumah. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa berupaya untuk memprogramkan rutin harian anak-anak sejak mereka bayi lagi.

Gaya hidup di sini membawa kepada konteks yang lebih besar meliputi aspek pemakanan, senaman, penjagaan tahap kesihatan dan lain-lain lagi.

Pemakanan yang sihat adalah masakan dari rumah. Selain dapat menjimatkan belanja dapur, kesihatan seisi rumah juga lebih terjamin. Justeru itu, ibu bapa bolehlah merancang panduan menu yang sihat untuk seisi keluarga. Ajak anak anda untuk masak bersama anda pada hujung minggu juga antara aktiviti yang menyeronokkan. Aktiviti 1 ahli keluarga 1 menu pada musim cuti sekolah juga menarik, tau!

Beriadah dengan berjoging pada setiap petang atau pada hujung minggu juga antara contoh yang baik buat anak-anak. Hal ini menjadi panduan buat anak-anak untuk mengikut jejak langkah ibu dan ayah yang sentiasa menitik beratkan penjagaan kesihatan yang baik melalui senaman.

Sebagaimana yang kita maklumi, kesihatan adalah anugerah yang terindah dan perlu dipelihara sebaik mungkin. Pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh ibu bapa juga menunjukkan contoh penjagaan kesihatan yang baik buat anak-anak.

Bagaimana acuan, begitulah kuihnya

Pembelajaran sepanjang hayat. Motto ini wajar dijadikan sebagai panduan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.

Anak-anak wajar diteladani dengan sifat rajin menelaah bahan-bahan ilmiah oleh ibu bapa. Sediakanlah ruang perpustakaan mini yang boleh menjadi tempat anda dan keluarga berkumpul untuk membaca atau berkongsi bahan bacaan setelah makan malam.

Anak-anak bukan sahaja boleh menyiapkan latihan kerja rumahnya di sini, malah mereka juga boleh meluangkan masa lapang dengan aktiviti membaca. Belilah buku-buku yang memberikan manfaat buat anak anda dan berbincanglah mengenai inti pati buku tersebut sejak mereka kecil lagi. Pepatah mengatakan bahawa ibarat melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Akhir sekali, berikan dorongan dan panduan buat anak-anak untuk memilih haluan kerjaya mereka. Konsep paksaan buat anak-anak untuk penentuan kerjaya masa depan mereka bukanlah langkah yang bijak. Terapkanlah minat dalam diri anak-anak sejak mereka kecil sekiranya anda merasakan bidang kerjaya tersebut memberikan peluang yang cerah pada masa akan datang. Dalam erti kata lain, lorongkan minat anak anda.

Kesimpulannya, anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah penentu coraknya. Oleh itu, jadilah suri teladan yang terbaik dalam kehidupan anak anda.

Semoga bermanfaat!

Related Articles

Stay Connected

0FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles