Sebagai seorang pelajar, saya yakin ramai yang sentiasa melakukan ulangkaji terutamanya apabila peperiksaan atau ujian semakin hampir. Ada yang akan sediakan jadual ulangkaji berserta subjek agar penyusunan masa lebih teratur dan tidak meleret. Persoalan saya hari ini, adakah anda menggunakan teknik tertentu ketika belajar ataupun melakukan ulangkaji? Jika ya, apakah teknik itu?
Teknik belajar yang betul atau bersesuaian dengan diri kita sebenarnya dapat meningkatkan pemahaman dalam satu-satu subjek. Jika kita tahu manfaatkan atau gunakannya dengan betul, proses ulangkaji dan pembelajaran akan menjadi lebih efektif dan berkesan. Sebab itulah penting untuk anda mengetahui teknik belajar yang bersesuaian dengan diri anda.
Apakah pesanan yang acap sekali kita terima sewaktu menjadi pelajar?
“Jangan hafal, awak kena faham. Kalau hafal nanti mesti akan lupa. Kalau faham, lebih senang nak ingat.”
Kebanyakan nasihat yang kita terima adalah sebegini bukan? Jangan menghafal, sebaliknya kita perlu memahami barulah kita akan mengingatinya dengan baik. Namun, betul ke sebegitu? Sememangnya, itulah yang sebetulnya. Namun perlu diingatkan memang ada subjek yang perlu kita hafal terutamanya bagi subjek yang mempunyai formula.
Disinilah di mana kita perlu menguasai kaedah pembelajaran yang bersesuaian dengan diri kita. Menguasai kaedah pembelajaran yang baik adalah sebahagian usaha kita untuk menghadapi pelajaran dengan langkah terbaik seterusnya memperoleh kecemerlangan.
Setiap orang akan mempunyai kaedah pembelajaran tersendiri. Ada yang suka cara A, ada yang suka cara B. Terpulanglah kepada masing-masing yang penting adalah keberkesanan teknik atau kaedah belajar tersebut terhadap diri masing-masing.
Dalam kelas juga, setiap guru tidak menggunakan kaedah yang sama. Lain guru, lainlah kaedah yang di guna pakai ketika sesi pembelajaran dan pengajaran berlangsung. Di dalam kelas, murid digalakkan untuk kekal aktif berinteraksi atau bertanya soalan agar mereka dapat memahami sesuatu topik itu dengan lebih baik dan efektif.
Hari ini, kita akan mengupas antara dua teknik yang selalu digunakan oleh para pelajar iaitu teknik menghafal dan memahami. Yang manakah yang lebih membantu? Hafal dan faham adalah dua benda yang berbeza. Jom kita lihat dua teknik ini.
Teknik menghafal
Salah satu kaedah yang agak sering digunakan adalah belajar dengan menghafal. Contohnya menghafal formula Matematik, perkataan yang menarik seperti Akronim dan fakta Sejarah. Kaedah ini banyak digunakan oleh ramai pelajar sekolah termasuklah pelajar universiti. Namun, menghafal ini umumnya lebih untuk subjek yang memerlukan kita banyak membaca. Menghafal merupakan salah satu cara paling baik untuk mengingati sesuatu.
Bagaimanapun, ramai daripada murid sekadar menghafal tanpa memahami walau satu perkataan sekalipun. Ini akan menjadi masalah juga jika anda sekadar menghafal tanpa memahami apa yang dihafal.
Teknik ini hanya sesuai untuk beberapa perkara sahaja yang melibat formula, akronim dan sebagainya. Elakkan menghafal tanpa memahami terutamanya bagi topik yang melibatkan konsep serta pemahaman asas.
Teknik Memahami
Teknik in lebih disarankan berbanding teknik menghafal. Apabila kita memahami apa yang dipelajari, ianya akan menjadi pembelajaran yang bermakna. Hasilnya anda akan lebih mudah skor dan peningkatan akademik secara berterusan juga akan dapat dilihat.
Apabila anda dapat menguasai sesuatu topik dengan memahami topik tersebut dengan baik, peratusan untuk terlupa adalah rendah berbanding jika anda cuma menghafal apa yang anda pelajari.
Jadi pastikan anda faham terlebih dahulu apa yang telah dipelajari. Fahami konsep asas, jalan cerita, formula dan sebagainya agar anda lebih yakin terutamanya ketika musim peperiksaan berlangsung.
Sebenarnya masih banyak kaedah, teknik dan cara yang boleh kita lakukan untuk cepat menguasai dan memahami setiap pembelajaran, tetapi sebanyak mana kaedah dan cara jika kita tidak menggunakannya, ia akan menjadi sia-sia.
Lakukan dengan bersungguh-sungguh, berterusan dan tidak berputus asa. Semoga kaedah yang dikongsikan dapat mencetuskan inspirasi, motivasi, menghasilkan pembelajaran yang berkesan dan kreatif.
Di MyTutor, kami mempunyai tutor yang mahir dengan pelbagai teknik belajar yang bersesuaian dengan anda. Setiap pelajar akan menggunakan teknik belajar yang berbeza mengikut keperluan pelajar tersebut. Dapatkan bantuan MyTutor hari ini!