23.2 C
New York
Thursday, May 2, 2024
spot_img

Punca Negara Kekurangan Guru

Walaupun sudah melangkau memasuki tahun 2023, namun isu kekurangan guru masih terjadi dan belum dapat ditangani dengan efektif. Apakah sebenarnya punca utama isu kekurangan guru di Malaysia ini? Menurut Dr Anwar yang merupakan Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad, punca negara kekurangan guru adalah disebabkan terlalu banyak mata pelajaran, ramai guru bersara awal disebabkan lambakan kerja melibatkan pentadbiran.

Isu ini bukanlah isu baharu di dalam negara. Ianya telah lama berlaku namun masih tindakan yang di ambil belum mencukupi dalam menyelesaikan isu ini secara terus. Isu ini dikatakan agak kritikal terutamanya di Sabah dan Sarawak. Ramai yang mengharapkan agar isu ini dapat ditangani dengan kadar segera. Menurut KPM, mereka menyasarkan untuk menyelesaikan kemelut ini bermula daripada Mac 2023 secara berperingkat.

Terlalu banyak mata pelajaran menyebabkan kekurangan guru. Pada dasarnya, bagaimana isu ini menyumbangkan kepada kekurangan guru? Apabila terlalu banyak mata pelajaran, guru-guru terpaksa mengambil serta mengajar subjek tersebut dan menyebabkan mereka berasa tertekan dek kerana jadual yang padat. Bukan itu sahaja, ada subjek yang bukanlah kepakaran mereka dan mereka terpaksa melakukan ulangkaji semula apabila diminta untuk mengajar subjek tersebut. Akhirnya, guru-guru ini bertindak untuk meletakkan jawatan. Pelantikan guru mengikut bidang yang diingini pula mengambil masa.

KPM ketika ini mengatakan bahawa mereka sedangn berdepan cabaran kekurangan calon guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG) selain ketidaksepadanan opsyen mata pelajaran. Antara mata pelajaran dikesan mengalami kekurangan guru adalah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi di peringkat sekolah rendah. Manakala di sekolah menengah, antara mata pelajaran yang menunjukkan kekurangan guru adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.

Seterusnya, ramai guru yang membuat keputusan untuk bersara awal kerana mereka terlalu penat dengan lambakan tugasan yang diberikan. Hal ini berlaku apabila kes seperti lebihan pengambilan subjek menyebabkan mereka perlu menyediakan lebih banyak bahan mengajar dan juga pembelajaran. Kekangan masa menyebabkan mereka ini mendapat rehat yang tidak mencukupi. Bayangkanlah, pada 9 November tahun lalu sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari tahun sama.

Keluhan demi keluhan dapat dilihat melalui perkongsian beberapa guru melalui media sosial mereka. Antara keluhan yang dikongsikan adalah berkenaan persoalan sistem pendidikan negara ditambah lagi tekanan kerja menyebabkan golongan pendidik lesu dan mendorong mereka untuk ‘menarik diri’ setelah berpuluh tahun berkhidmat sebagai guru.

Lebih menyedihkan, ada juga mendakwa terpaksa menipu dalam mengisi data seperti sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan pemansuhan peperiksaan. Ada yang mendakwa terpaksa ‘menipu’ dalam memberi markah tahap penguasaan murid walaupun murid tidak tahu membaca selain menjadi mangsa pertindihan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akibatnya terpaksa menanggung kesalahan yang bukan daripada mereka sendiri.

Isu ini secara tidak langsung telah mengakibatkan semakin banyak kekosongan jawatan guru yang perlu diisi. Proses pencarian guru yang berpotensi untuk menggantikan guru veteran merupakan antara cabaran yang paling besar. Sesungguhnya, pengalaman serta kefahaman mereka terhadap subjek diajar amatlah penting, lebih-lebih lagi dalam merangka modul pemulihan pasca pandemik. 

Bagi sesetengah pihak, perkara ini mungkin dilihat sebagai peluang yang baik untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan pendidikan. Tetapi, dalam tempoh menunggu kemasukan guru-guru baharu, vakum kekosongan tetap perlu diisi, sekaligus menambah tugasan guru-guru semasa untuk mengajar kelas-kelas yang tiada guru. Perkara ini mungkin akan mengakibatkan guru-guru merasa lebih terbeban dengan penambahan gerak kerja, hatta, ianya juga akan mengganggu kelancaran pembelajaran para pelajar.

Kami percaya, ramai yang mengharapkan solusi yang lebih efektif dapat diimplimenkan dan akhirnya isu ini segera ditangani. Isu ini memberikan terlalu banyak impak negatif terutamanya terhadap pelajar. Ianya juga menganggu kualiti pembelajaran serta pengajaran seterusnya menjejaskan prestasi akademik pelajar tersebut.

Related Articles

Stay Connected

0FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles