Pendidikan seharusnya menjadi pengalaman sepanjang hayat yang inklusif. Tanggungjawab dalam menerapkan kemahiran terhadap pelajar merupakan satu tanggungjawab yang tidak seharusnya di pandang enteng. Pada abad ini, guru dan mentor hanya bertindak sebagai fasilitator dan penggalak demi melahirkan pelajar yang lebih berkualiti dan cemerlang pada masa akan datang.
Persaingan sengit dalam mendapatkan bidang kerja yang diingini bukanlah perkara baharu di Malaysia. Umum mengetahui bahawa, persaingan dalam industri pekerjaan menyebabkan ramai majikan mencari calon pekerja yang mempunyai tiga kemahairan kritikal ini. Tiga kemahiran kritikal ini perlu diberikan penekanan serta penting dalam memastikan kualiti seseorang pekerja itu lebih terjamin. Tiga kemahiran yang sering di pandang ialah:
1. Kemahiran menyelesaikan masalah
Antara kemahiran yang di pandang tinggi oleh majikan adalah kebolehan seseorang dalam menyelesaikan masalah. Sudah pasti kemahiran ini di pandang tinggi kerana seseorang yang mempunyai kebolehan ini sudah sepastinya dapat menyelesaikan banyak perkara serta memberi sumbangan buah fikiran terhadap syarikat dengan tinggi. Selain itu, orang seperti ini juga lebih berdikari dan tahap kebergantungan terhadap seseorang atau pihak tertentu lebih rendah.
Mereka yang mempunyai kebolehan penyelesaian masalah yang tinggi lebih cenderung dalam mengkaji situasi dan bertanya soalan untuk mengenal pasti punca masalah. Seterusnya membolehkan mereka untuk menyediakan penyelesaian masalah dan melakukan pemantauan dari segi keberkesanan penyelesaian masalah tersebut. Golongan ini juga lebih kreatif dan sentiasa cuba berfikir di luar kotak.
2. Sikap Kerjasama
Majikan mana yang tidak suka pada pekerjanya yang sentiasa boleh memberikan kerjasama yang baik? Tidak kiralah anda sebagai ahli pasukan mahupun ketua pasukan, sikap kerjasama ini amatlah penting dalam memastikan sesuatu tugas dapat diselesaikan dengan baik dan tepat pada waktunya.
Apabila seseorang mempunyai sikap kerjasama yang tinggi, sepastinya mereka tidak mempunyai masalah dalam melakukan kerja mahupun tugas bersama orang lain yang mempunyai personaliti serta latar belakang yang berbeza. Secara tidak langsung membuatkan mereka lebih banyak pengalaman berbanding pekerja yang lain.
3. Kebolehsesuaian
Berapa lama masa yang anda perlukan dalam menyesuaikan diri di sesuatu tempat yang baharu? Atau persekitaran dan gerak kerja yang baharu? Jika cepat, memanglah sangat bagus. Kadangkala, ada perubahan yang tidak dapat kita jangkakan berlaku di tempat kerja. Seseorang itu haruslah sentiasa bersedia dalam menyesuaikan diri di suasana atau persekitaran baharu.
Majikan akan sentiasa mengharapkan bahawa pekerja-pekerja mereka mempunyai kebolehan menyesuaikan diri yang tinggi. Mudah bagi mereka untuk melakukan sebarang perubahan atau keputusan yang terpaksa dilakukan secara mengejut. Pekerja sebegini kebiasaannya memang di pandang baik oleh majikan.
Persekitaran pekerjaan kadangkala boleh menyebabkan tekanan. Oleh hal yang demikian, kita harus bijak dalam menyesuaikan diri. Dengar seperti mudah, namun jika kita sentiasa mempunyai sikap positif dan inovatif, perkara ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan.
Semoga tips kali ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat buat pembaca yang dihormati.