14.9 C
New York
Saturday, October 12, 2024
spot_img

Ujian UASA – Bersediakah Anda?

Rata-rata pelajar sekarang sepastinya sedang bertungkus lumus melakukan ulangkaji dek kerana Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) semakin menghampiri. Sepastinya ada yang sedang giat melakukan ulangkaji bersama rakan mahupun menyediakan nota yang berwarna-warni dalam pelbagai bentuk.

Sepastinya ramai pelajar sedang melakukan ulangkaji berkumpulan.

Makanya di sini cikgu ingin bertanya, bagaimanakah setakat ini persediaan anak-anak pelajar? Sudah benar-benar bersedia? Di saat seperti ini, belajarlah dengan bijak dengan menyusun strategi yang sepastinya dapat membantu anda.

Bagaimana harus anda bersedia? Atau bagaimana saya nak pastikan yang sebenarnya saya sudah bersedia? Mudah sahaja. Biar cikgu kongsikan bagaimana untuk pastikan yang anda sudah betul-betul bersedia.

1. Mahir Topik yang Dipelajari

Pastikan anda sudah mahir dengan topik-topik yang telah dipelajari. Soalan cikgu biasa terima, “macam mana saya nak pastikan saya sudah mahir dengan topik tersebut?” Mudah sahaja. Cuba jawab soalan berkaitan topik-topik tersebut. Berjaya jawab atau tidak? Kalau tidak bermaksud anda masih belum mahir dengan topik tersebut.

Bukan itu sahaja, jika subjek seperti Sains atau Sejarah, anda boleh cuba ceritakan semula fakta atau teori yang anda faham kepada rakan anda. Minta rakan anda semak semula, betul atau tidak isi-isi yang diberikan. Jika betul alhamdulillah. Jika masih ada yang tertinggal atau salah, haaa anda tahu apa yang perlu dilakukan.

2. Format Kertas Peperiksaan

Sudah tahu belum format kertas peperiksaan UASA? Sudah tahu bagaimana anda hendak dapatkan markah? Kata kunci dan sebagainya? Jika belum, inilah masanya untuk anda mengambil tahu berkenaan format Kertas Peperiksaan UASA. Orang yang paling layak untuk anda bertanya adalah guru matapelajaran tersebut. Pastikan anda tahu format kertas peperiksaan supaya anda lebih bersedia ketika peperiksaan berlangsung nanti.

Bayangkan jika anda tidak tahu format kertas peperiksaan, sepastinya anda tidak bersedia serta akan menyebabkan anda berasa kekok serta tidak tenteram dan juga tidak yakin. Perkara seperti ini boleh menyebabkan anda menjadi gugup dan terus tidak dapat berfikir. Jadi, pastikan anda mengetahui format kertas peperiksaan sebelum peperiksaan bermula.

3. Pastikan Alatan Tulis Sudah Lengkap

Jangan tunggu satu hari sebelum peperiksaan ataupun pagi hari peperiksaan baru anda nak sediakan semuanya. Memang kelam kabut jadinya dan sepastinya pelbagai perkara boleh berlaku. Ingat, bersedia awal tidak akan memudaratkan kita. Jadi lebih baik kita pastikan segala kelengkapan telah disediakan awal. Pastikan segalanya ada serta mencukupi. Pastikan juga anda ambil tahu alatan tulis tambahan yang diperlukan. Contohnya, set geometri, kertas graf dan sebagainya.

Malam sebelum peperiksaan, pastikan anda sudah kemas dan letakkan alatan tulis ke dalam beg. Sediakan semuanya malam sebelum peperiksaan agar anda tidak kelam kabut pada pagi hari nanti.

4. Rehat Serta Tidur yang Secukupnya

Jangan terlampau penat dan tidur lewat sehari sebelum peperiksaan. Otak serta badan akan menjadi penat. Kita juga akan berasa mengantuk ketika peperiksaan menyebabkan fokus kita lari.

Pastikan anda tidur awal agar anda berasa segar esoknya. Seharusnya, satu hari sebelum peperiksaan, anda tidak perlu tidur lewat. Disebabkan itulah anda digalakkan untuk mengulangkaji lebih awal.

Semoga 4 tips ini dapat membantu anda untuk menduduki UASA dengan lebih bersedia. Di sini juga, cikgu ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Maju Jaya buat semua anak-anak pelajar yang bakal menduduki UASA. Tawakkal dan Yakin!

Cikgu Fatin

Related Articles

Stay Connected

0FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles