14.5 C
New York
Thursday, May 2, 2024
spot_img

Kaedah Ajar Membaca Mudah

Kalau sebelum ini, saya ada kongsikan tips bagaimana nak pupuk minat anak membaca di usia awal, hari ini saya nak kongsikan cara bagaimana nak ajar membaca dengan mudah tanpa perlu menghadapi pelbagai drama dan dugaan. Bukanlah tiada langsung, namun sekurang-kurangnya tidaklah terlalu banyak.

Risau sekarang kerana terlalu ramai pelajar yang keciciran. Sebagai ibu bapa, mahupun guru atau tutor, sepastinya kita mahu membantu mereka ini agar tidak terus keciciran. Namun adakalanya berasa runsing apabila anak itu sendiri tidak memberikan kerjasama yang baik ketika sesi membaca itu berlangsung.


1. Bersedia Mental dan Emosi

Mengajar membaca ni, bukanlah mudah seperti yang kita semua sangkakan. Memang banyak cabarannya. Ingat juga, setiap anak tidak sama, makanya tidak perlulah bandingkan dengan anak-anak yang lain. Apabila sudah tekad hendak membantu anak ini, kunci utama yang boleh saya tekankan adalah kesabaran. Ya betul. Mungkin mudah untuk diperkatakan namun tidak mudah untuk lakukan.

Emosi juga perlu stabil. Mengajar mengikut emosi ni, apa yang saya boleh katakan ialah ianya tidak elok untuk anak tersebut. Situasi yang paling teruk adalah anak itu sendiri bakal berasa bosan, tertekan dan sedih ketika sesi belajar membaca ini berlangsung. Makanya, sabar dan teruskan pemikiran yang positif.

2. Kaedah yang Betul

Saya sentiasa sarankan untuk mengajar anak membaca menggunakan kaedah fonik. Ramai yang tanya, kenapa fonik? Apa kelebihan fonik berbanding kaedah lain? Sepanjang 9 tahun dalam bidang mengajar ni, saya memang perasan bahawa pelajar lebih mudah belajar menggunakan kaedah ini. Saya juga menerbitkan buku modul membaca dan ianya bukanlah sekadar buku berdasarkan pengalaman saya sahaja.

Bagi memastikan keberkesanan buku tersebut, saya membuat keputusan untuk menjalankan satu projek lapangan membaca secara dalam talian sahaja. Ianya melibatkan lebih kurang 20 pelajar dan hasilnya 90% pelajar dapat membaca dalam tempoh 4 bulan. Kekerapan kelas tersebut hanyalah dua kali seminggu. Maka saya yakin jika anda suri rumah, sepastinya masa ini dapat disingkatkan lagi.

Antara kelebihan menggunakan kaedah fonik adalah:

  • Anak-anak tidak perlu menghafal suku kata
  • Hanya perlu mengetahui bunyi huruf
  • Boleh membunyikan sesuatu huruf lalu menyebut hanya dengan kaedah gabung bunyi
  • Tidak mudah keliru dengan sebutan huruf dan bunyi huruf
  • Lebih mudah untuk gabungkan bunyi
  • Lebih mudah untuk belajar membaca Bahasa Inggeris di kemudian hari
  • Kaedah gabung bunyi digunakan dalam bahasa lain juga

Namun begitu, saya sarankan untuk anda mempunyai ilmu yang lengkap jika hendak menngajar fonik ni. Takut tersalah ajar, makin keliru anak tersebut. Saya juga sarankan untuk menggunakan satu kaedah sahaja pada satu-satu masa. Ibu bapa perlulah cakna dengan kaedah pengajaran yang digunakan di sekolah anak anda.

3. Banyakan Aktiviti Hands-on

Bila bercakap tentang ajar membaca, apa yang saya perasan ialah semuanya berfokus pada aktiviti membaca sedangkan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan berkaitan dengan membaca. Apabila terlampau memberi fokus pada membaca semata-mata sepastinya anak-anak akan merasakan bahawa ianya amatlah membosankan untuk belajar membaca.

Apakah yang dimaksudkan dengan aktiviti hands-on? Aktiviti hands-on bermaksud aktiviti atau apa jua pergerakan yang boleh merangsang deria motor halus dan motor kasar anak-anak dan membantu mereka belajar melalui pengalaman sendiri. Aktiviti hands-on boleh melibatkan penggunaan alatan ataupun tidak.

Terdapat beberapa kelebihan aktiviti hands-on ini. Ianya dapat meningkatkan minat anak-anak untuk melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti hands-on juga dapat meningkatkan daya ingatan anak-anak tentang apa yang dipelajari dengan lebih cepat serta dapat mengingatinya dalam tempoh yang lebih lama.

Kalau rasa buntu dan tidak mempunyai idea untuk bahagian aktiviti ni, apa yang saya boleh sarankan ialah untuk anda cari idea aktiviti-aktiviti ini di laman sesawang Pinterest. Memang banyak sangat aktiviti yang menarik boleh dilakukan bersama-sama dengan anak di waktu lapang. Mahu dengan tidak sahaja.

Akhir kata, semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat buat anda yang membaca.

Related Articles

Stay Connected

0FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles