12.3 C
New York
Tuesday, April 23, 2024
spot_img

Tips Memupuk Minat Anak Membaca Di Usia Awal.

“Ya Allah, payah benar kalau nak ajak membaca ni! Langsung tidak fokus, kadang menangis, kadang marah dan tidak berikan kerjasama.”

Membaca sebenarnya aktiviti yang menarik jika kena pada aktivitinya

Begitulah keluhan kebanyakan ibu bapa mahupun tutor apabila mereka berjumpa saya. Namun ianya bukanlah sesuatu yang baharu. Acap kali isu ini berlaku dan ianya kerana perubahan dari segi masa dan juga teknik pengajaran.

Apa sebenarnya yang membuatkan anak-anak ini langsung tidak mahu membaca dengan kita? Adakah sebab kita terlalu garang, memaksa atau bosan? Pening kepala memikirkannya.

Maka hari ini, saya membuat keputusan untuk berkongsi tips agar anak-anak ini minat untuk membaca dan sentiasa rasa seronok dan teruja apabila mereka melihat buku. Apabila kena pada caranya, insyaAllah pasti lebih mudah.

1. Mula Awal

Ya, betul. Inilah yang selalu saya sarankan dalam seminar membaca saya. Mulakan awal. Bagaimana hendak bermula? Sebelum saya terangkan lebih lanjut, tahukah anda bahawa buku berwarna boleh diperkenalkan seawal 6 bulan? Ya, 6 bulan sudah boleh perkenalkan. Sebelum 6 bulan pula bagaimana? Saya tunjukkan buku yang sesuai bagi anak berusia bawah 6 bulan.

Buku kain berwarna hitam, putih dan sedikit merah amat sesuai bagi bayi berusia 6 bulan ke bawah.

Ibu bapa mahupun tutor harus cakna bahawa buku di atas bukanlah untuk mereka membaca mahupun mengenali sesuatu namun lebih kepada perkembangan visual mereka selain membantu bahagian fokus dan perkembangan kognitif. Menarik bukan?

Bagi anak yang berusia 6 bulan ke atas, anda boleh membeli buku kain yang berwarna. Ingat, jangan fokus pada mengajar sewaktu usia ini! Tujuan memberikan mereka buku ini, lebih kepada pengenalan serta eksplorasi anak tersebut.

Buku yang mempunyai pelbagai tekstur adalah lebih baik kerana ianya dapat membantu perkembangan sensori anak anda dari segi sentuhan. Buku yang berwarna-warni juga dapat memastikan anak lebih tertarik untuk meminati buku tersebut. Saya juga perasan anak saya lebih suka buku berbentuk “pop out” dan “lift the flap”.

Antara contoh buku “lift the flap”

2. Jangan Paksa

Pada usia awal ini juga, ingat, jangan paksa anak! Kalau paksa, memang susah jadinya, memang hilanglah minat mereka. Apa yang saya buat dengan anak saya, saya biarkan dia pilih buku yang hendak diterokai. Kalau sama tiga hari sekalipun, saya biarkan. Nak pupuk minat membaca, tak boleh paksa. Sama juga macam kita yang dewasa ini.

Jika anak masih belum bersedia, jangan marah atau naikkan suara. Cuba ajak mereka selepas beberapa ketika. Anak saya jenis suka membaca buku sebelum tidur. Seawal setahun setengah, anak saya sudah menjadi rutin ke rak buku untuk memilih buku yang hendak diterokai. Ada hari yang mana anak tidak mahu lakukan aktiviti membaca, saya biarkan sahaja.

3. Fahami Fokus Anak serta Masa yang Sesuai.

“Mak nak kamu baca selama 30 minit”

Habislah kalau begini. Mak, ayah perlu faham. Bila nak ajar anak membaca atau nak ajak anak membaca, yang penting bukanlah masa, namun kekerapan sesi tersebut berlaku dan berulang. Masa bukanlah penentu untuk anak tersebut cekap membaca namun kekerapan. Ingat ya, kekerapan memainkan peranan yang sangat penting.

Bagaimana saya nak tahu tahap fokus anak? Mudah sahaja, darabkan dua atau tiga kali daripada usia anak anda. Contoh anak berusia 2 tahun, tahap fokus anak hanyalah 4-6 minit. Jika anak anda berusia 6 tahun, maka fokus anak anda ialah 12-18 minit sahaja. Maka, jika kita paksa anak untuk membaca 30 minit, sudah pasti sesi tersebut tidak efektif dan anak terus merasa bosan kerana sudah melebihi masa fokus anak.

Kalau terus menerus begini, saya yakin, anak akan pasti rasa membaca ini adalah sesuatu aktiviti yang tidak menyeronokkan, membosankan serta menyusahkan. Jadi, ikutlah masa yang bersesuaian dan tingkatkan kekerapan sesi tersebut. Percayalah, anak pasti akan lebih seronok untuk membuka buku tanpa perlu di suruh!

4. Buku yang Sesuai.

Sepastinya buku memainkan peranan terhadap anak. Pilihlah buku yang sesuai mengikut umur anak. Pastikan buku tersebut tidak terlalu berat untuk anak baca atau terokai. Kebanyakan buku mempunyai saranan umur di belakang kulit buku tersebut. Ibu bapa atau tutor bolehlah menjadikan ini sebagai panduan dalam penyediaan buku yang tepat.

Kenali juga minat anak anda. Ianya dapat membantu untuk menerapkan minat membaca di usia yang awal. Belikan buku mengikut apa yang diminati oleh anak. Samalah macam kita, kita tidak akan baca buku yang tidak menarik minat bukan? Kita dewasa juga sepastinya lebih gemar membaca sesuatu yang diminati.

Pilih buku yang bersesuaian.

5. Bawa Anak ke Kedai Buku/Pameran Buku

Sayalah paling teruja apabila ada ekspo buku. Saya pasti anda pernah mendengar “Big Bad Wolf”. Bukunya kebanyakannya amatlah berpatutan serta menarik. Saya pasti akan datang dengan sebuah bagasi jika ke sini dan menghabiskan berejam-jam di sini untuk membelek buku yang ada.

Saya menjadi rambang mata dalam memilih buku anak saya yang berusia 2 tahun. Pastinya lama kerana saya akan teliti buku tersebut dari segi kesuaian konteks serta umurnya. Kadang saya memerhati sekeliling. Ibu bapa yang membawa anak, anak pasti teruja melihat buku yang pelbagai warna serta ceria.

Bertambah teruja apabila si ibu atau ayah berkata “pilih buku mana yang nak, pilih lah 3-4 buku yang awak suka.” Senyum lebar semuanya, memilih buku-buku yang bakal di beli. Apa yang seronoknya, ekspo sebegini, mereka menyediakan contoh buku yang boleh di selak dan di baca kandungannya. Lebih mudah untuk ibu bapa atau tutor menapis dan memilih buku yang bersesuaian.

ekspo “Big Bad Wolf”

Selain daripada ekspo di atas, saya juga suka ke Book Xcess. Book Xcess ni macam adik beradik Big Bad Wolf. Seronok sebab ada buku contoh dan ada kafe (Outlet Cyberjaya) apabila sudah kepenatan. Bukunya pula harga berpatutan. Setahu saya, Book Xcess ini hanya di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Book Xcess Cyberjaya di buka 24 jam

Maka itulah lima tips yang dapat saya kongsikan dengan anda semua. Semoga perkongsian ini banyak memberikan manfaat kepada semua. Semoga anak-anak kita menjadi bangsa yang celik membaca serta cemerlang dunia akhirat.

-Cikgu Fatin-

Related Articles

Stay Connected

0FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles